Penghantar barang rugi lebih RM60,000 ditipu ‘Love Scam’

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Akibat terjerat dengan sindiket penipuan cinta di alam maya (Love Scam), seorang penghantar barang berputih mata apabila ditipu sehingga mengalami kerugian RM63,826.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian bermula apabila mangsa berkenalan dengan suspek pada awal Ogos melalui aplikasi Wechat.

Siasatan awal mendapati suspek, yang menggunakan identiti palsu dengan nama Leong Kin Seng, mula meminta bantuan kewangan daripada mangsa hanya selepas 20 hari berkenalan.

“Suspek dikatakan meminta wang tersebut kononnya bagi membiayai kos perubatan ibunya yang sedang sakit dan mengugut untuk memutuskan hubungan jika mangsa gagal berbuat sedemikian.

“Akibat terpedaya, mangsa membuat 16 transaksi ke dalam satu akaun bank bernama Leong Kin Sing pada 25 Ogos 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Raub berkata, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila ajakan untuk bertemu sering ditolak dengan pelbagai alasan.

Kecewa dengan tindakan suspek, mangsa melakukan carian menggunakan Google Image dan mendapati gambar yang digunakan suspek sebenarnya milik seorang pelakon terkenal dari Hong Kong.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda boleh dikenakan ke atas pesalah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat