Racun monyet? Pengkaji hidupan liar kongsi pandangan, solusi

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Resipi aiskrim beracun dan pisang maut yang dikongsikan oleh seorang lelaki bagi membunuh kumpulan monyet liar baru-baru ini mendapat kecaman banyak pihak.

Ada yang menyifatkan tindakan itu kejam kerana mendakwa kumpulan monyet tersebut adalah terancam habitatnya.

Namun, bagi pengkaji hidupan liar yang dikenali sebagai Arif di platform X, dia mempunyai pandangan yang berbeza.

Katanya, mengapa tindakan itu dilakukan kerana populasi monyet semakin bertambah.

“Punca kenapa bertambah, orang ramai beri monyet-monyet ini makan dan ia semakin kritikal.

“Kami ahli bidang sentiasa maklumkan, jangan bagi makan hidupan liar, tetapi ramai degil dan tahu kritik Kerajaan sahaja.

“Antara lain adalah pembukaan hutan, tetapi isu ini tidak kritikal berbanding memberi makan,” katanya.

Dalam pada itu, Arif turut berkongsi bagaimana hendak mengurangkan populasi monyet ini.

“Penakaian (culling) dan TNR (Tangkap, Mandul, Lepas),” tulisnya.

Berdasarkan pencarian Malaysia Bangkit di beberapa laman web berkaitan teknik tersebut, penakaian (culling) adalah merupakan kaedah biasa yang diamalkan dalam pengurusan hidupan liar.

Kaedah ini digunapakai bagi mengawal populasi melalui pengurangan secara terkawal spesies konflik seperti kera di mana spesies ini menyumbang kepada aduan gangguan yang tertinggi di semenanjung Malaysia.

Kaedah yang dilakukan adalah di mana perangkap diletakkan di kawasan yang bermasalah dan haiwan yang ditangkap akan dibuat penakaian.

Solusi kedua iaitu TNR, merupakan satu kaedah efektif yang lebih rahmah dan bersifat kemanusiaan.

Ini kerana haiwan tersebut akan ditangkap, dibius untuk dimandulkan oleh veterinar profesional sebelum dilepaskan kembali ke lokasi asal mereka dijumpai.

Dengan TNR, populasi haiwan akan lama kelamaan berkurang dan jelas lebih terkawal.

“Jadi, mana satu yang lebih efektif untuk semua segi?” Soal Arif.

Tambahnya lagi, daripada orang ramai mengkritik Kerajaan, lebih baik bantu sebarkan kesedaran untuk tidak memberi makan kepada hidupan liar.

Ini kerana, katanya, kesan hidupan liar kepada manusia lebih buruk seperti wujud penyakit bawaan daripada kumpulan itu, serangan terhadap manusia dan kerosakan harta benda yang serius.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat