PUTRAJAYA: Lebih 900 penyokong hadir ketika himpunan solidariti bagi menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, di sini pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, orang ramai kebanyakannya berkumpul di hadapan dan kanan lokasi terbabit.
“Kami menganggarkan lebih 900 penyokong setakat jam 10 pagi. Keadaan setakat ini terkawal,” katanya seperti dilapor The Star.
Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 456 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur telah dikerahkan ke Istana Kehakiman dan kawasan sekitar.
“Kami juga mengadakan tiga sekatan jalan raya di laluan utama ke Istana Kehakiman mulai jam 8 malam tadi.
“Sehingga pagi ini, laluan trafik kebanyakannya lancar,” tambahnya.
Aidi Sham berkata, setakat ini polis turut mengesan pihak yang membawa sepanduk dengan tulisan ‘Solidariti Untuk Najib Razak’.
“Kami juga akan terus memantau keadaan dengan teliti,” katanya.
Orang ramai mula hadir di luar Istana Kehakiman seawal pukul 7 pagi Isnin.
Antara pemimpin politik yang turut dilihat hadir termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.
Selain itu, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah turut dilihat hadir.