Ulasan | Tuduhan jahat PN Titah Adendum disembunyikan

Oleh: Amin Ahmad

SATU tuduhan jahat yang dimainkan oleh Perikatan Nasional dan yang mahu bersubahat dengan mereka ialah Titah Addendum disembunyikan untuk menganiaya Najib Razak. 

Di sebalik dakwaan ini ialah untuk menghasut penyokong Najib Razak dan UMNO-BN seluruhnya keluar daripada kerajaan perpaduan. 

Bagi menambah perisa mereka memainkan isu derhaka. Walhal jika semudah itu derhaka maka PN menolak pembentukan kerajaan perpaduan itu jauh lebih derhaka. 

Tapi tak apalah. Mari kita cuba layan pemikiran cetek mereka. 

Berdasarkan kenyataan peguam Najib Razak, addendum yang dimaksudkan diserahkan kepada mantan Peguam Negara (ketika masih berkhidmat) dan memang dibuat di luar perbincangan Lembaga Pengampunan. Ini fakta yang diterima oleh kedua-dua pihak. 

Kes semakan kehakiman dibawa oleh Najib adalah untuk mendapat tahanan di rumah. Jangan salah faham dulu ingat kena tahan di rumah beliau. Akta belum ada tentang ini. Yang ada pun Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL). Kena penuhi syarat-syarat ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan juga Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000. 

Tak apa itu isu lain. 

Tercetusnya soal addendum adalah apabila Najib Razak buat semakan kehakiman bagi menuntut tahanan di rumah. Hujahnya addendum inilah. Maka barulah timbul soal addendum. 

Pada mulanya mahkamah putuskan hearsay sebab tak ada bukti. Ada salinan sahaja. Maka Najib buat rayuan. Ada surat Istana sahkan ada bagi addendum. Kini bukti diterima untuk dibawa dalam semakan kehakiman. 

Dalam semakan kehakiman nanti barulah akan ditentukan sama ada addendum tersebut adalah sebahagian daripada keputusan yang telah ditandatangani dan dimeterai melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan. 

Jika Mahkamah Tinggi terima, maka kena tengok undang-undang mana untuk laksanakan tahanan rumah ini. Jika Mahkamah Tinggi tolak, bermaksud keputusan di luar mesyuarat tidak diterima pakai. 

Keputusan di luar mesyuarat tidak diterima pakai ini adalah pendirian peguam Persekutuan berdasarkan hujah yang ada. Saya percaya hujah yang sama akan dibawa nanti. Maka saya fikir rasionalnya tidak ada sesiapa menyembunyikan addendum ini tetapi ia hanya tidak diterima pakai oleh peguam Persekutuan memandangkan mereka berpendirian bahawa ia bukanlah sebahagian keputusan yang dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. 

Sama ada ini akan diterima oleh Mahkamah Tinggi nanti sama-sama kita tunggu.

***Penulis adalah Pengerusi Pakatan Harapan Perlis dan Pengerusi PKR Perlis

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat