Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa Malaysia telah berjaya mencapai kesepakatan bersama dengan Singapura untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak yang telah berlanjutan sejak puluhan tahun.
Beliau berkata, meskipun belum mendapat jalan penyelesaian sepenuhnya, kemajuan dan kesepakatan yang dicapai dianggap cukup bermakna dalam usaha merungkai isu-isu tersebut.
“Dalam sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala, saya memaklumkan bahawa kedua-dua negara mencapai beberapa persefahaman terkait pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
“Perbincangan turut menyentuh rundingan isu persempadanan maritim, bekalan air, ruang udara dan eksport tenaga melalui kabel dasar laut,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Singapura atas kerjasama dalam memperkembangkan ekonomi negara di peringkat global.
“Selaku Pengerusi ASEAN, saya zahirkan penghargaan atas sokongan Singapura dalam usaha mencipta peluang baharu dalam tenaga, pendigitalan, perdagangan dan pelaburan serantau,” ujarnya.
Sebelum itu, Anwar dan PM Lawrence menyaksikan pertukaran lapan dokumen merangkumi Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta enam memorandum persefahaman (MoU) dan satu surat niat (LOI) terkait kerjasama dalam bidang pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Baca lagi: