PAS selalu ubah ‘fatwa’, usah terpedaya – Mat Sabu

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tidak mustahil PAS akan membuang Datuk Seri Najib Razak suatu hari nanti apabila bekas Perdana Menteri itu tidak lagi memberi keuntungan, dakwa Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamad menjangkakan perkara itu berdasarkan pengalamannya yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam PAS selama 37 tahun dari 1978 hingga 2015, sebelum keluar parti untuk membentuk AMANAH.

Dakwa Mohamad lagi, sokongan PAS terhadap Najib ketika ini khususnya berkait dengan isu titah adendum hanyalah sandiwara untuk menarik sokongan orang Melayu.

“Banyak sudah bukti bahawa fatwa PAS boleh diubah sesuka hati demi untuk menghalalkan sesuatu tindakannya.

“Contohnya, bila nak larang ahli PAS turun berdemonstrasi, mereka guna dalil – jangan campakkan dirimu ke dalam kebinasaan. Tetapi bila nak kerah ahli PAS untuk turun berdemonstrasi, mereka guna pula dalil – berjuanglah ke jalan Allah dengan harta dan nyawamu.

“Amalan mengeluarkan fatwa sesuka hati inilah yang akan merosakkan negara sepertimana yang Tan Sri P Ramlee pertontonkan dalam filem Musang Berjanggut dulu.

“Berdasarkan semua insiden ini, maka bolehlah kita simpulkan bahawa; segala tuduhan dan persepsi yang cuba dimainkan oleh PAS hanyalah suatu sandiwara politik. Fatwa politik mereka boleh berubah bila-bila masa yang mereka suka.

“Begitulah juga bila hari ini PAS menyatakan sokongan kepada Najib, ini hanyalah sandiwara menarik sokongan Melayu. Tidak mustahil suatu hari nanti, PAS akan membuang Najib jika beliau tidak lagi menguntungkan politik PAS,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Rabu.

Sementara itu, Mohamad yang pernah menjadi Timbalan Presiden PAS mendakwa, sepanjang dalam parti itu, beliau diajar perbezaan dengan UMNO bukan setakat dalam politik tetapi akidah termasuk mengkafirkan UMNO dan beliau hanya solat di Masjid Rusila atau Masjid Batu Enam ketika berada di Terengganu kerana solat berimamkan ahli UMNO adalah haram.

Paling mengejutkan, katanya, selepas PAS berpisah dengan DAP dan Keadilan, PAS bersama pula dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) yang mana pemimpin PAS mengatakan hubungan baru PAS-UMNO ini adalah anugerah Allah.

“Saya nak sebut di sini, ahli-ahli AMANAH atau umat Islam jangan gusar dan jangan rasa gelisah di atas tuduhan PAS sebab tuduhan atau gelaran yang dikeluarkan oleh mereka hanyalah bersifat semasa dan untuk kepentingan politiknya sahaja.

“Kami yang telah tertipu, kononnya perbezaan dengan UMNO itu adalah perbezaan akidah tetapi ternyata ia adalah permainan untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada PAS.

“Usahlah terpedaya dan termakan dengan sandiwara semasa PAS,” katanya.

Isnin lalu, pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 orang menyertai himpunan di Putrajaya untuk mengikuti prosiding Mahkamah Rayuan berkait semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat