PKEB 2025: Pemangkin kejayaan ekonomi golongan B40 melalui keusahawanan

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PKEB) 2025 dilancarkan dengan matlamat memperkasa komuniti B40 dan menjadikan mereka peneraju utama dalam memacu ekonomi Malaysia melalui keusahawanan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu berkata, program itu telah diamanahkan untuk melatih peserta dengan latihan keusahawanan yang berkredibiliti tinggi, disertai bimbingan berterusan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

“Sejak dilancarkan pada tahun 2013, KPKT telah memperuntukkan sejumlah RM174 juta bagi melatih seramai 16,955 orang usahawan PEKB di seluruh negara.

“Pada tahun 2025, RM11 juta diperuntukkan kepada 1060 peserta daripada golongan B40 untuk melaksanakan program ini.

“Peserta akan menerima latihan keusahawanan selama tujuh hari dan disediakan peralatan perniagaan sebaik tamat Latihan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, langkah itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk mengelakkan rakyat terpinggir dan mengurangkan kemiskinan bandar.

“KPKT juga komited memperkukuhkan kerjasama strategik dengan NGO untuk melaksanakan inisiatif berimpak tinggi yang berfokus kepada pembasmian kemiskinan bandar dan peningkatan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat