Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Tanda tanya mengenai pelukis sebenar ikon rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang mencetuskan perbincangan orang ramai kini terjawab, apabila ia didedahkan oleh ahli keluarganya.
Menerusi ciapan di laman X, anak kepada pelukis berkenaan mendakwa, ikon tersebut merupakan hasil kerja tangan dan bukan janaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Hai, ini bukan (janaan) AI, ia lukisan asli daripada ayah saya,” tulis @Muhdhelmiyani di aplikasi tersebut.
Bagi meyakinkan lagi orang ramai, lelaki tersebut turut menyertakan tangkap layar perbualan bersama bapanya berhubung sebahagian proses penghasilan awal rekaan ikon berkenaan dan lakaran di aplikasi WhatsApp.
Sebelum ini, ikon rasmi VM2026 menjadi buah mulut orang ramai apabila ada segelintir yang mendakwa ia direka menggunakan AI.
Namun, di sebalik dakwaan itu, ramai juga yang memuji rekaan kreatif dan unik logo berkenaan.
Tahun ini, beruang matahari dipilih sebagai ikon dan maskot bagi kempen VM2026 kerana ia merupakan spesis beruang terkecil di dunia dan asli di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Watak Wira iaitu beruang jantan dan Manja (beruang betina) direka dalam gaya animasi untuk memikat semua peringkat umur selain menarik kedatangan pelancong ke negara ini.
Majlis Pelancaran VM2026 di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), dekat Sepang, Selangor disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.