META terima lesen operasi dalam masa terdekat – Fahmi

PETALING JAYA: Selepas Tencent (WeChat), ByteDance (TikTok) dan Telegram, kini giliran Meta Platforms Inc (META) dijangka menjadi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial keempat menerima lesen untuk beroperasi di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pengendali Facebook, Instagram dan WhatsApp itu akan menerima lesen itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, META sudah menghantar beberapa dokumen diperlukan untuk membuat pengesahan seperti ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Setakat jam 5 petang semalam (Selasa), WeChat, TikTok dan Telegram sudah mendapat lesen (untuk beroperasi di Malaysia), manakala META tidak lama lagi dan saya jangka proses terbabit berjalan dengan tertib serta lancar.

“Lagi dua (platform) iaitu Google yang mengusahakan YouTube dan X masih dalam perbincangan dengan pihak MCMC,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Terdahulu, Tencent (WeChat) menjadi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial pertama menerima Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) untuk beroperasi di Malaysia, diikuti ByteDance (TikTok) dan Telegram.

Mengulas mengenai dakwaan X bahawa jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai lapan juta orang, Fahmi berkata, MCMC memerlukan sedikit masa untuk membuat pengesahan perkara berkenaan.

“Jadi, kita perlukan sedikit masa untuk buat proses pengesahan apa yang mereka sebut itu dan saya minta SKMM cuba untuk cepat, tetapi kita berikan sedikit masa,” katanya.

Jelasnya lagi, YouTube dikategorikan sebagai aplikasi media sosial kerana wujudnya YouTube Shorts yang mirip TikTok dan mempunyai elemen berkongsi dan ruangan komen.

Mengenai LinkedIn, Fahmi berkata, beliau telah meminta MCMC meneliti sama ada platform itu mempunyai jumlah pengguna yang ramai di Malaysia, iaitu lebih lapan juta dan sekiranya perlu ia turut ditakrifkan sebagai media sosial.

Sementara itu, Fahmi berkata, ketika ini kesemua pengendali media sosial masih boleh dihubungi bagi tindakan menurunkan sebarang kandungan yang melanggar undang-undang, seperti iklan judi dalam talian di platform mereka.

“(Sebagai contoh) iklan judi dalam talian yang dimuat naik dalam platform YouTube. Bila disampaikan (kandungan melanggar undang-undang), pihak YouTube mengambil tindakan, walaupun ia belum dilaksanakan (lesen),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi menjelaskan keputusan Meta menamatkan perkhidmatan semakan fakta dan beralih kepada nota masyarakat (community notes) dalam platform mereka tidak memberi kesan kepada pengguna Malaysia.

Anda Mungkin Berminat