PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha mengeratkan hubungan dua hala antara negara.
Anwar berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk hal perbatasan, pengambilan tenaga kerja serta koordinasi hal nelayan di kawasan pertikaian Selat Melaka.
“Selain itu, turut dibincangkan adalah perkara berkaitan perdagangan, pelaburan, ekonomi, sosiobudaya, pertahanan dan keselamatan.
“Ruang lingkup singkat dan bermakna ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi terus mempereratkan hubungan erat yang terjalin selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Pertemuan secara tertutup itu diadakan pada majlis makan tengah hari di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada Khamis.
Pertemuan itu juga merupakan salah satu agenda daripada lawatan kerja sehari Prabowo, sejak beliau mula memegang jawatan sebagai Presiden pada Oktober 2024.
Untuk rekod, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN pada 2023.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion) tahun lepas.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, dagangan dua hala bernilai RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.