Anwar ucap takziah kepada mangsa kebakaran hutan di California Selatan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terjejas akibat kebakaran hutan yang dahsyat di California Selatan.

Kebakaran yang belum pernah terjadi sebelum itu telah meragut banyak nyawa, malah memusnahkan lebih daripada seribu struktur (bangunan/kediaman) dan memaksa banyak keluarga meninggalkan kediaman mereka.

“Tragedi ini menyentuh hati kita semua.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat dan kerajaan Amerika Syarikat dalam menghadapi masa sukar ini.

“Fikiran dan doa kami adalah bersama komuniti yang terjejas oleh krisis ini serta perkhidmatan kecemasan yang berjuang dengan berani untuk memadamkan api (kebakaran),” katanya menerusi satu kenyataan ringkas.

Kebakaran hutan di California Selatan telah menyebabkan kemusnahan besar dengan ribuan hektar tanah terbakar dan banyak kawasan kediaman serta komersial musnah.

Kebakaran ini berlaku dalam keadaan cuaca kering dan angin kencang telah memaksa ribuan penduduk untuk berpindah dan menyebabkan gangguan besar kepada kehidupan harian.

Pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan kecemasan telah bekerja tanpa henti untuk mengawal kebakaran dan memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas.

Usaha pemadaman api melibatkan ribuan anggota bomba, pesawat pemadam kebakaran, dan sokongan dari pelbagai agensi.

Anda Mungkin Berminat