Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mula mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025 bermula 13 Januari ini.
Manakala, bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026, agihan akan bermula pada 16 Februari, manakala murid Tingkatan 6 baharu akan menerima bantuan mulai 1 Julai.
“Kerajaan MADANI memperuntukkan RM791.25 juta untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off, yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid.
“Tahun ini, inisiatif BAP turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 buat pertama kali,” kata KPM dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, agihan BAP kepada murid akan dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan tiga kaedah iaitu serahan tunai kepada ibu bapa bagi murid sekolah rendah atau ibu bapa/murid bagi sekolah menengah, pengkreditan ke akaun bank murid, atau akaun ibu bapa.
“Inisiatif BAP menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan yang bakal menjelang,” kata kenyataan itu lagi.
Baca juga: