Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Malaysia menyokong penuh inisiatif Jepun menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu sangat bermakna bagi Malaysia.
“Dalam isu serantau, kami bersetuju untuk menyokong inisiatif Jepun untuk bersama-sama mempengerusikan mesyuarat menteri pada Julai (ini), sebuah persidangan kerjasama antara negara-negara Asia Timur untuk pembangunan Palestin.
“Ini khususnya berkaitan pembinaan semula Gaza dan Palestin, yang sangat bermakna bagi Malaysia dan juga banyak negara lain, termasuk umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam menangani cabaran mendesak yang dihadapi oleh rakyat Palestin dan menegaskan semula dedikasi Malaysia untuk menyumbang kepada usaha itu.
Kedua-dua pemimpin optimis bahawa persidangan akan datang akan menjadi platform untuk merangsang usaha antarabangsa ke arah pembangunan mampan dan keamanan di wilayah Palestin.
Baca juga: