PORT DICKSON: Bermula 9 Januari 2025 (semalam), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memperkenalkan payung pantai ala Bali di Pantai Teluk Kemang sebagai gantian kepada khemah biru yang telah menjadi isu hangat selama empat tahun.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, MPPD telah membelanjakan lebih RM200,000 untuk kelengkapan payung pantai itu.
Katanya, seramai 33 pengusaha yang terlibat dalam perniagaan khemah di Pantai Teluk Kemang telah diberi lesen perniagaan baru untuk menyewakan payung pantai.
“Setiap pengusaha diberi lapan payung, lapan meja, dan 16 kerusi santai.
“Kos sewa peralatan ini ditanggung oleh MPPD secara satu-satu,” katanya.
Tambah beliau, kaedah itu akan dipantau selama enam bulan dan sekiranya terdapat pelanggaran atau tidak terkawal, kaedah itu akan dibatalkan serta-merta.
Terdahulu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengambil tindakan sita terhadap peniaga khemah biru yang memonopoli kawasan tersebut tanpa permit.
Difahamkan, isu tersebut bukanlah isu baharu, namun ia telah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.