Ekonomi Perak beri manfaat warga emas – Dr Zaliha

PETALING JAYA: Jabatan Wilayah Persekutuan akan mengkaji pelaksanaan ekosistem ekonomi perak atau silver economy untuk memberi manfaat kepada warga emas dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, jabatan tersebut juga akan meneroka sektor pelancongan inklusif, yang mana negara ini boleh menawarkan fasiliti mesra usia dan mesra upaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Saya turut meminta Ketua Pengarah untuk mengadakan sesi libat urus dengan kumpulan yang lebih kecil bagi menyediakan Pelan Tindakan Warga Emas di Wilayah Persekutuan.

“Penglibatan komuniti seperti ini adalah penting untuk memastikan keputusan atau tindakan yang diambil benar-benar memberi impak kepada komuniti yang berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Dr Zaliha menghadiri Majlis Sesi Temu Rapat bersama Persatuan, Wakil Masyarakat dan Organisasi Berkaitan Warga Emas Wilayah Persekutuan di ibu negara.

Menurut Jabatan Perangkaan (DOSM), Malaysia dijangka akan beralih ke status negara menua atau aging nation pada 2030, yang mana populasi warga emas ketika itu dianggarkan berada pada kadar 15 peratus daripada populasi rakyat Malaysia.

Di Wilayah Persekutuan pula, seramai 9.18 peratus rakyatnya terdiri daripada golongan warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Anda Mungkin Berminat