Belia jangan sibuk pertahan tokoh rasuah – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, golongan belia seharusnya tidak disibukkan dengan isu remeh seperti mempertahankan tokoh-tokoh besar yang terbabit dalam jenayah penyelewengan dan mencuri duit rakyat.

Beliau mendakwa, pihak lawan menggunakan alasan Melayu dan Islam untuk mengecam usaha kerajaan menangani isu rasuah dan salah guna kuasa.

Dakwanya lagi, ada pihak juga yang mendakwa beliau ingin membalas dendam terhadap tokoh-tokoh tertentu.

“Jangan sibuk dengan soal remeh pertahankan penyelewengan ini, heboh kita pertahankan.

“Saya singgung orang besar-besar, bilionair atas soal rasuah, (tapi) banyak suara atas nama Melayu, atas nama Islam pertahankan tokoh besar yang rasuah.

“Marah, (kata) saya dendam kesumat.. Dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik pada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, tokoh-tokoh yang dimaksudkannya itu mempunyai kekayaan luar biasa termasuk di luar negara.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas perasmian itu, Anwar enggan mengulas lanjut mengenai isu titah tambahan (adendum) mengenai tahanan rumah untuk Najib Razak.

Ketika diajukan soalan sama ada kerajaan bersedia mendedahkan butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan Najib, beliau hanya tunduk dan berkata, “Tak dengar ucapan ke?” katanya ringkas seperti dilapor MalaysiaKini.

Sebelum ini, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mencadangkan agar minit mesyuarat lembaga pengampunan didedahkan kepada umum bagi merungkai isu adendum.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dilapor berkata, minit mesyuarat berkenaan sulit dan tidak boleh didedahkan.

Anda Mungkin Berminat