Anwar tekankan kepentingan teknologi kewangan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 4 kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di ibu negara, malam tadi.

Siri kali ini mengetengahkan perbincangan seputar isu teknologi kewangan (‘fintech’) dengan tema ‘Menggunakan Teknologi Dalam Perkhidmatan Kewangan Bagi Memacu Kemakmuran dan Keterangkuman’.

“Forum ini adalah wadah penting bagi menyuburkan wacana ilmu yang segar, serta memberi pandangan, teguran atau kritikan secara langsung kepada kerajaan dan industri untuk bersama-sama menggerakkan usaha pemerkasaan ekonomi.

“Juga harus dimanfaatkan sebagai ruang penjanaan idea baharu untuk memandu penggubalan dasar yang baik dan memacu pertumbuhan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Forum tersebut menampilkan tiga tokoh industri dan pimpinan iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank; serta Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia.

Anwar turut mengulas isu-isu kompleks dalam sektor kewangan seperti sikap institusi kewangan konvensional yang menolak mata wang kripto seperti Bitcoin serta keberkesanan agensi seperti  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang perlu dinilai semula.

Beliau juga menegaskan peranan kepimpinan kerajaan yang harus melangkaui peranan tradisional untuk memahami kelemahan sistem dan mendorong perubahan serta pembaharuan agar Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.

“Negara harus memerlukan reformasi radikal dalam sistem pendidikan negara untuk mempersiapkan anak-anak menghadapi cabaran semasa dan masa depan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memetik contoh Amerika Syarikat yang mengambil langkah berani melalui laporan ‘A Nation at Risk’ pada 1983 untuk memastikan kejayaan negara.

Tegas beliau, wacana intelektual, keberanian mencabar status quo, dan pemikiran kritikal adalah kunci untuk mencorak masa depan negara yang lebih cemerlang.

Anda Mungkin Berminat