PM sendiri bentang agenda pengampunan Najib kepada Agong ke-16

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan dirinya bertanggungjawab membentangkan agenda permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Anwar, agenda tersebut dibentangkan ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, terdapat 11 agenda yang dibawa ketika mesyuarat dengan 10 daripadanya dibentangkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Manakala, agenda ke-11 berkaitan bekas Perdana Menteri itu dibentangkan olehnya, kata Anwar.

“Jadi, saya sebagai Perdana Menteri membentangkan mengapa beliau (Najib) masuk penjara, bagaimana hukumannya, bagaimana masalah rakyat, bagaimana sikap antarabangsa, apa laporan penjara dan apa-apa kes baharu yang belum selesai. Beliau juga pernah jadi Perdana Menteri, Menteri Besar dan pernah ada jasa pada negara.

“Dari segi kedudukan beliau di penjara terdapat laporan baik. Dari segi kesihatan sekali sekala pergi balik dari hospital. Itu pandangan yang saya beri sepenuhnya dan kemudian terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong (untuk membuat keputusan),” katanya.

Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong menangguhkan keputusan sebanyak dua kali sehingga Januari tahun lalu, apabila hukuman denda dan penjara Najib dikurangkan kepada RM50 juta serta enam tahun.

“Saya bukan ahli (Lembaga Pengampunan), saya ahli sebelum 2023 kerana masa itu saya jalankan tugas Menteri Wilayah Persekutuan.

“Selepas itu baru saya lantik Dr Zaliha (Mustafa), dia hadir saya tak hadir. Jadi keputusan (Lembaga Pengampunan) itu dihantar kepada Ketua Pengarah Penjara, dan itu hukuman dia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Muhibbah Madani Anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda, dekat Seberang Perai Tengah, Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.

Dalam ucapan sama, Anwar menafikan bahawa kerajaan menyembunyikan dokumen Titah Adendum berhubung permohonan pengampunan Najib.

Tegasnya, tindakan segelintir pihak yang sengaja menuduh kerajaan bertindak sedemikian adalah tidak wajar.

“Surat tu dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan.

“Dan Peguam Negara kemudian… bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” katanya.

Pada Jumaat, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum berkait Najib berada dalam fail atau rekod rasminya.

Melalui kenyataan dikeluarkan, BHEUU menjelaskan tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada Istana Negara berhubung dokumen tambahan berkait Najib.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memberi kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari 2024.

Titah Adendum dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini pernah mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang, yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menurut Muhammad Shafee, surat bertarikh 4 Januari 2024 itu dihantar kepada anak sulung Najib, Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Anda Mungkin Berminat