Badan pemikir Polity perkasa sosioekonomi rakyat – Nurul Izzah

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir baharu dikenali sebagai Polity bakal membawa agenda pembangunan dasar dan intervensi bersama komuniti bagi memperkasakan sosioekonomi rakyat.

Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar berkata, badan itu akan diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada majlis makan malam bersama Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) pada 17 Februari depan.

“Polity akan menjalankan penyelidikan berasaskan bukti, memperjuangkan dasar yang inklusif, melaksanakan advokasi dan intervensi di lapangan yang mendorong perubahan yang bermakna.

“Polity akan memastikan wujudnya hubungan yang kukuh antara pembuatan dasar dan pelaksanaan di lapangan. Kita mahu komuniti memahami hak mereka serta dasar dan program yang benar-benar berkesan.

“Fokus utama Polity adalah pada isu sosial ekonomi, terutama dalam melaksanakan program latihan kemahiran yang mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau yang juga pengerusi SERI berkata, Polity turut mendapat sokongan daripada pakar ekonomi, guaman, doktor dan pakar semikonduktor yang turut bekerjasama dalam mencapai visi organisasi itu yang memberikan penekanan terhadap wanita dan golongan belia.

“Di Malaysia, kami fokus kepada keselamatan ekonomi, kerana kami percaya bahawa ekonomi yang stabil adalah asas untuk membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang terjamin, situasi yang berlaku di Gaza harus menjadi pemangkin untuk kita memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai menyertai Polity sebagai sukarelawan atau pelatih industri bagi menyokong usaha terbabit.

“Kita memerlukan individu yang berkongsi visi membina masa depan lebih baik. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi kami untuk maklumat lanjut.

“Polity dijangka menjadi platform penting dalam menggerakkan perubahan dasar yang inklusif, khususnya membabitkan wanita, anak muda dan komuniti rentan di negara ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat