Tambahan RM15 juta untuk pembangunan bola sepak negara

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan peningkatan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pembangunan sukan bola sepak yang akan dibiayai pihak swasta.

Peruntukan itu ialah tambahan daripada Belanjawan 2025 berjumlah RM15 juta juga menjadikan jumlah keseluruhan RM30 juta.

Perdana Menteri Datuk Seti Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan skuad Harimau Malaya diperkukuh sekali gus muncul sebagai gergasi bola sepak asia.

“Umum mengetahui bahawa sukan bola sepak amat dekat di hati rakyat Malaysia termasuk diri saya sendiri yang sentiasa menerima perkembangan langsung terkait

situasi melibatkan pasukan Harimau Malaya.

“Peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.

“Dana ini juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Beliau turut mahu usaha merangkumi lebih ramai pemain pelapis dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad

bawah-23 negara.

“Selain daripada ikhtiar yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI dan FAM, saya juga berharap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas Baginda dalam industri bola sepak.

“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya,” katanya.

Anwar juga berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat