Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menyita 21 kenderaan perdagangan yang disyaki gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyitaan itu menerusi pemeriksaan di 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sejak 30 Disember lalu.
Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli, tindakan sita menerusi Operasi Khas Puspakom itu menunjukkan ketegasan JPJ terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.

“Pihak JPJ telah mengesan kesalahan kenderaan yang disita adalah melibatkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor Palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, Insurans tamah tempoh dan menggunakan Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.
“Daripada jumlah sitaan tersebut, pihak JPJ turut mengesan sebuah lori telah dikesan diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan tersebut tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, susulan tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil dibawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan Ops Khas Puspakom ini adalah untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan di Puspakom.
JPJ Malaysia sentiasa komited dalam emmastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan perdagangan.
Baca juga: