PETALING JAYA: Pada hari terakhir lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan media Malaysia untuk memberi penerangan mengenai kejayaan dan sinergi pelaburan yang dicapai.
Beliau menjelaskan bahawa lawatan pertama ke luar negara tahun ini membuahkan kejayaan yang sangat bermanfaat untuk rakyat dan negara.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan yang lebih luas dan meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga boleh baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan (AI),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Anwar turut menekankan bahawa sinergi perdagangan dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN akan diperkuat selain pelaburan dengan syarikat gergasi UAE.
“Terima kasih UAE, moga bertemu lagi dan kini misi delegasi Malaysia bergerak ke London, United Kingdom dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara,” katanya.
Lawatan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memantapkan hubungan antarabangsa dan mempromosikan pembangunan ekonomi sejagat melalui kerjasama yang berkesan dan sistematik.
Anwar juga berkongsi prakarsa Malaysia yang agresif dalam mempromosikan pembangunan ekonomi sejagat serta pelaksanaan peralihan tenaga dan pelaburan hijau.