PETALING JAYA: Tembok istana dan rakyat bukanlah pemisah bagi keluarga diraja Johor yang saban tahun turun padang melawat mangsa banjir dan mengurniakan bantuan.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta paduka anakanda melawat mangsa-mangsa bencana bukanlah suatu yang asing lagi bagi rakyat Johor.
Menurut perkongsian di Facebook baginda, keberangkatan keluarga diraja Johor ke tempat bencana tanpa protokol ketat sememangnya menjadi kebiasaan sekiranya berlakunya banjir, walaupun di kawasan pedalaman.
“Sultan Ibrahim akan berangkat melawat walaupun terpaksa mengharungi banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot atau helikopter milik peribadi.
“Seri Paduka Baginda bersama keluarga meluangkan masa menyantuni rakyat serta memastikan semua kelangkapan bantuan disediakan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” menurut perkongsian itu.
Katanya, sumbangan yang dikurniakan bukan sahaja tertumpu kepada mangsa banjir, malah turut disalurkan kepada pihak yang menguruskan bencana.
Sultan Ibrahim dengan keprihatinan dan kasih sayang terhadap rakyatnya terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu mereka yang memerlukan, mengukuhkan lagi hubungan erat antara istana dan rakyat Johor.