Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: KK Mart perlu memperketat kawalan dalaman berkaitan sensitiviti pelanggan berikutan insiden menjual sandwic ham dengan sijil halal yang sudah lupus, kata Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung.
Menurutnya, insiden itu amat mendukacitakan, lebih-lebih lagi selepas insiden ‘stoking’ yang berlaku kurang setahun lalu.
Katanya, Malaysia sentiasa berusaha memperkembangkan industri halal yang dikagumi sedunia, dengan pengiktirafan yang makin diterima oleh pengusaha serta pelabur antarabangsa.
“Sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia disasarkan sebanyak 8.1 peratus bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025 dan meningkat kepada 10.8 peratus bersamaan RM260 bilion pada tahun 2030,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, tindakan cuai segelintir pengusaha tempatan berkemungkinan bakal menjejaskan imej Malaysia sebagai peneraju industri halal yang telah mengekalkan kedudukan di tangga pertama dalam kedudukan State of the Global Islamic Economy (SGIE) untuk tahun yang ke-10.
“KK MART harus segera menyemak semula mekanisme pembelian dalaman syarikat, termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pembelian dan mengumumkan keputusan ini kepada orang ramai.
“Sekadar mendakwa pembekal adalah tidak memadai. Sebagai usahawan Malaysia, KK Mart harus menunjukkan teladan sebuah syarikat prihatin yang mempunyai tanggungjawab sosial,” tegasnya.
Baca juga: