Oleh: Kamilia Ali
GABUNGAN dua penyanyi meningkat naik, Vanessa Reynauld dan bintang hip hop dinamik, Rebel Asia mencantikkan lagi filem biopik, Soloz Game of Life yang bakal ditayangkan 23 Januari ini.
Dengan single berjudul, To The Finish Line sebagai runut bunyi (OST) filem yang mengangkat perjuangan dalam dunia e-sukan popular, Mobile Legends, kedua-duanya cemerlang mempersembahkan genre luar kotak mereka.
“Idea lagu ini berdasarkan filem tersebut dan ia dijadikan sebagai lagu penutup kerana sebab itulah tajuknya ‘To The Finish Line’. Ia melengkapkan pengakhiran cerita filem ini,” kata Vanessa.
Dalam masa sama, Rebel Asia turut menerangkan lagu ini mengangkat tema digital dan dunia permainan video yang menjadi inti kepada filem tersebut.
“Kami mahu menghasilkan sesuatu yang lebih digital, kerana ia berkaitan dengan permainan video dan mesej utama yang ingin disampaikan adalah terus kejar apa yang anda impikan dalam hidup kerana anda sendiri yang menentukan di manakah garisan penamatnya,” tambah Rebel.
Lagu To The Finish Line kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify dan YouTube Music. Peminat juga boleh menonton video muzik (MV) rasmi yang menampilkan elemen visual digital dan diinspirasikan dari filem secara eksklusif hanya di saluran YouTube sonymusicMYVEVO.
Untuk makluman, filem arahan Syafiq Yusof itu merupakan sebuah karya yang menyentuh emosi dan memacu adrenalin dengan kehidupan bakal ditayangkan pada 23 Januari 2025.
Filem ini diinspirasikan daripada kisah benar tentang perjalanan seorang remaja yang dikenali sebagai Muhammad Faris Zakaria yang juga dikenal sebagai Soloz untuk melalui cabaran kehidupan sebagai pemain E-sports profesional.
Soloz bersama rakan sepasukannya harus lebih banyak belajar dan bekerja keras dalam manis dan pahitnya kehidupan, nilai persahabatan agar berjaya mengenggam kemenangan.
Baca juga: