PETALING JAYA: Pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza mendedahkan 37 soalan bocor daripada pihak Polis di laman media sosialnya hari ini.
Beliau berkata soalan beserta jawapan itu dikepilkan bersama untuk rujukan rakan-rakan seangkatan terutamanya di Sabah jika turut ditahan polis.
“Pada 30 Dis 2024, aku ditangkap polis kerana karya poster #KoruptorNo1Sabah dalam gambar di atas.
“Di bawah aku kongsikan semua soalan bocor polis beserta jawapan yang aku berikan untuk panduan dan rujukan kawan-kawan di Sabah yang bakal di soal-siasat polis kerana melawan koruptor,” katanya di laman X pada Khamis.
Soalan pertama yang ditanyakan Polis ialah peranan beliau sebagai aktivis atau artis politik dalam masyarakat dan beliau tidak menyatakan jawapannya kerana ia boleh mendatangkan pelbagai kemungkinan.
“Saya gunakan hak saya bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah untuk menolak daripada menjawab soalan ini kerana jawapan saya mungkin boleh mendedahkan saya pada pertuduhan jenayah,” katanya.
Manakala untuk soalan kedua adakah Fahmi mengenali Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, Fahmi turut menyatakan haknya adalah untuk tidak menjawab soalan tersebut.
Menurut pemerhatian Malaysia Bangkit, soalan yang dikemukakan oleh Polis banyak berkisar mengenai penghasilan karya tersebut seperti bila ia disiapkan serta motif karya itu sendiri.
Daripada 37 soalan, hanya dua soalan sahaja dijawab oleh Fahmi iaitu kata laluan untuk akaun Facebook dan lokasi beliau tinggal ketika berada di Sabah.
Di ruangan komen, beliau menjelaskan bahawa kedua soalan tersebut perlu dijawab kerana ia melanggar undang-undang.
“Part password, polis akan ingatkan kamu, “Adakah kamu tahu kegagalan memberi username & password untuk siasatan boleh diambil tindakan bawah Seksyen 249 Akta Komunikasi & Multimedia, dan jika sabit kesalahan kamu boleh dihukum denda maksimum RM100,000 dan/atau 2 tahun penjara,” katanya.
Soal siasat yang bermula 1.21 petang itu kemudiannya berakhir pada 2.28 petang.
Terdahulu, Fahmi Reza ditahan Polis pada 31 Disember 2024, setelah soal siasat beliau dibebaskan dan kembali ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Baca juga: