Gencatan senjata di Gaza benar bantuan kemanusiaan baharu – Wisma Putra

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Perjanjian gencatan senjata di Gaza akan membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis menyifatkan bahawa, perjanjian senjata dan pembebasan tebusan serta mereka yang ditahan sewenang-wenangnya itu sebagai perkembangan amat dialu-alukan.

Menurut Wisma Putra, ia juga merupakan langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.

Katanya, penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih berada di Gaza terutama ketika musim sejuk yang sangat mencabar.

“Malaysia memuji kerajaan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian ini.

“Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Wisma Putra berkata, Malaysia akan kekal teguh bersolidariti dengan Palestin.

Jelasnya lagi, Malaysia melihat peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu bagi mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia.

“Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Ia berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Timur Tengah,” katanya.

Pada Rabu, pejuang Hamas dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula 19 Januari ini untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang dahsyat di Gaza.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani berkata, perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurutnya, fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.

Peperangan Israel di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 46,707 rakyat Palestin dan mencederakan 110,265 sejak 7 Oktober 2023.

Sekurang-kurangnya 1,139 orang terbunuh di Israel ketika serangan pimpinan Hamas dalam kejadian itu dan lebih 200 orang ditawan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat