Penunggang motosikal dibantu KPN cedera di buku lali, tangan

PETALING JAYA: Penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban menghala ke pusat bandar, sebelum dibantu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengalami kecederaan di buku lali dan tangan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.25 pagi membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika Honda Civic yang dipandu di lorong paling kanan dilanggar sebuah motosikal dari arah belakang.

“Selepas itu penunggang motosikal berkenaan (mangsa) hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah lagi kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX 3.

“Kemalangan berlaku di laluan pergerakan konvoi kenderaan Tan Sri Ketua Polis Negara (Razarudin) dan beliau berhenti dan turun memberi bantuan awal kepada mangsa kemalangan itu sebelum bantuan trafik tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, mangsa iaitu penunggang motosikal adalah lelaki berusia 56 tahun dan cedera pada buku lali kiri serta tangan kanan.

“Selepas bantuan awal diberikan, Tan Sri Ketua Polis Negara (Razarudin) beredar dari kawasan kemalangan berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, mangsa sudah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua pemandu kereta juga sudah membuat laporan polis, manakala penunggang motosikal masih dalam rawatan,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Razarudin tampil membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban menghala ke pusat bandar pada Khamis pagi.

Beliau bersama beberapa pegawainya turut dilihat mengawal aliran trafik serta membantu mangsa sehingga dibawa ke hospital untuk rawatan.

Beberapa foto dan video tular memaparkan detik-detik ketika Razarudin memberi bantuan itu seterusnya mendapat pujian orang ramai yang rata-ratanya menjadikannya sebagai teladan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat