10,000 penduduk Pitas terjejas banjir, PPS dibuka

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 10,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka dan DUN Pitas terjejas banjir setakat pukul 9 malam Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas, Asdi @ Mohd Faizal Hussin berkata, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk satu PPS ‘ad hoc’ dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.

PPS yang terlibat adalah di Dewan Kusilad, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II, SK Salimpodon Darat dan Balai Raya Kampung Lugu.

“Setakat ini, seramai 38 keluarga dengan 106 mangsa membabitkan 15 lelaki, 36 wanita, 30 kanak-kanak lelaki, 21 kanak kanak perempuan, tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan ditempatkan di PPS SK Pekan II.

“Selain itu, 21 keluarga dengan 47 mangsa membabitkan 10 lelaki dewasa, 24 wanita, lima kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan serta seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan dipindahkan di PPS SK Salimpodon Darat.

“Setakat jam 9 malam tadi juga, seramai 21 keluarga membabitkan seramai 66 mangsa dipindahkan di Balai Raya Kampung Lugu, masing-masing 29 lelaki, 25 wanita, masing-masing lima kanak-kanak lelaki dan perempuan serta dua bayi perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, banjir itu menyebabkan 16 jalan tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan, termasuk Jalan Kampung Manduring Laut, Jalan Salungkapit, Jalan Dandun Seberang, Jalan Bilangau Besar, Jalan Dandun Pusat dan Jalan Dandun Laut.

Dilaporkan, Sungai Kabatasan dan Sungai Bengkoka mencatat paras air 4.57 meter dan 2.69 meter, melebihi paras bahaya setakat pukul 9 malam tadi.

Anda Mungkin Berminat