Trump bagi klu penangguhan TikTok 90 hari

WASHINGTON: Donald Trump memberi klu kemungkinan besar akan memberi TikTok penangguhan selama 90 hari daripada larangan selepas beliau dilantik secara rasmi Presiden Amerika Syarikat, pada Isnin.

Aplikasi yang mempunyai 170 juta pengguna AS itu kini dalam kebimbangan menjelang tarikh penutupan yang dijadualkan pada Ahad.

“Penangguhan 90 hari adalah sesuatu yang kemungkinan besar akan dilaksanakan, kerana ia wajar.

“Jika saya memutuskan untuk melakukannya, saya mungkin akan mengumumkannya pada Isnin,”katanya memetik Reuters.

Aplikasi milik syarikat China yang telah memikat hampir separuh rakyat Amerika, menyokong perniagaan kecil, dan membentuk budaya dalam talian, berkata pada Jumaat bahawa ia akan berhenti beroperasi di AS pada Ahad melainkan pentadbiran Presiden Joe Biden memberikan jaminan kepada syarikat seperti Apple dan Google bahawa mereka tidak akan menghadapi tindakan penguatkuasaan apabila larangan dikuatkuasakan.

Di bawah undang-undang yang diluluskan tahun lalu dan disokong oleh Mahkamah Agung pada Jumaat, platform itu mempunyai sehingga Ahad untuk memutuskan hubungan dengan syarikat induknya yang berpangkalan di China, ByteDance, atau menutup operasi di AS bagi menyelesaikan kebimbangan tentang ancaman kepada keselamatan negara.

White House menolak kenyataan TikTok pada Jumaat sebagai gimik, sambil menegaskan bahawa ia terserah kepada pentadbiran Trump yang akan datang untuk mengambil tindakan, meningkatkan kemungkinan penutupan pada Ahad.

“Kami tidak melihat alasan untuk TikTok atau syarikat lain mengambil tindakan dalam beberapa hari akan datang sebelum pentadbiran Trump memegang jawatan pada Isnin,” kata setiausaha akhbar Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.

Sementara itu,Kedutaan China di Washington pada Jumaat menuduh AS menggunakan kuasa negara yang tidak adil untuk menekan TikTok. China akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan hak dan kepentingan sahnya,” kata seorang jurucakap.

Mahkamah Agung sebulat suara menyokong larangan itu pada Jumaat, dengan mengatakan bahawa undang-undang tersebut adalah wajar atas dasar keselamatan negara.

Tanpa keputusan Biden secara rasmi memohon penangguhan 90 hari, syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada TikTok atau menjadi hos aplikasi itu boleh menghadapi liabiliti kewangan yang besar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat