Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan menghormati dan menjuarai nilai manusiawi, dalam membentuk Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih bertamadun serta berjaya di masa hadapan.
Namun, Anwar tidak menolak kemungkinan perkara itu agak sukar berlaku sekiranya rakyat khususnya golongan belia dan anak muda masih melayan budaya terlalu selesa, tidak mahu berubah malah terpedaya dengan mainan politik murahan sesetengah pihak.
“Justeru, nasihat saya adalah untuk terus membangun dan berjaya, perlunya kebersamaan dari semua pihak termasuk anak jati Malaysia yang berada di luar negara agar negara tidak ketinggalan di persada dunia,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin.
Perkara itu juga dibangkitkan ketika beliau berucap di Brussels, Belgium sempena lawatan kerja dua hari ke negara tersebut serta bertemu pemimpin Kesatuan Eropah (EU).
Menurutnya, setibanya di negara itu, beliau terus mengadakan mesyuarat tertutup untuk mengemaskini program yang diatur sebelum menyantuni diaspora dalam satu majlis santai dan harmoni.
Terdahulu, Anwar tiba di Brussels pada Ahad manakala pesawat yang membawanya mendarat di Lapangan Terbang Brussels pada jam 2 petang (9 malam waktu Malaysia), dari London selepas beliau menamatkan lawatan kerja ke United Kingdom (UK).
Ketibaan Anwar disambut oleh Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak, serta Timbalan Ketua Protokol Belgium, Alain Schmitz.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Baca juga: