KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret Kemaman hari ini memerintahkan seorang lelaki direman tiga hari kerana disyaki terbabit memukul seorang lelaki kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman, Jumaat lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin susulan permohonan polis di bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Memetik Berita Harian, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di IPD Kemaman kira-kira 11.30 malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang OKU mental 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.
Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga serta pembeli di pasar tani itu.
Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar, dilaporkan berkata lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan setakat ini.
Katanya, polis turut memanggil beberapa saksi lain untuk diambil keterangan, termasuk ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan.
Baca juga: