CNY: LLM jangka 2.6 juta kenderaan sehari di lebuh raya utama

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 2.6 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata, pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota akan meningkat bermula pada 24 hingga 28 Januari.

“Daripada jumlah 2.6 juta itu, sebanyak 2.2 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, 198,000 di Lebuhraya KL-Karak, 82,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, 48,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dan 120,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

“Manakala, LLM jangkakan juga aliran trafik kembali ke ibu kota akan meningkat pada 1 hingga 2 Februari,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Sazali, syarikat konsesi tidak dibenar menutup lorong kecemasan pada 23 Januari hingga 3 Februari, kecuali bagi kerja kecemasan.

“Selain itu, laluan smart lane di 25 lokasi hotspot akan diaktifkan.

“Pihak PLUS juga telah menyediakan kira-kira 50 tandas sementara dari jenis kabin yang lebih selesa berbanding tandas ‘portable’ konvensional di Lebuhraya Utara Selatan untuk menampung keperluan pengguna,” katanya.

Tambahnya lagi, pelaksanaan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan pada 27 hingga 28 Januari dan 1 hingga 2 Februari dijangka membantu kepada aliran trafik yang lebih baik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat