Dialog, kolaborasi pragmatik kunci kepada hubungan bersama AS dan China – Anwar

DAVOS: Kunci utama jalinan hubungan antarabangsa kompleks terutamanya dalam penglibatan Malaysia bersama kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China adalah dialog dan kolaborasi pragmatik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, melibatkan diri dengan konstruktif dan lebih berhati-hati adalah perkara yang amat penting bagi negara.

Katanya, dasar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjadi sangat pragmatik walaupun tidak berpeluang untuk bersua muka.

Meski pengumuman-pengumuman yang dilontarkan oleh Trump agak membimbangkan kerana dilihat lebih kepada kepentingan pengundinya dan Amerika Syarikat di tengah-tengah globalisasi, Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya bahawa Presiden Amerika itu sedar dengan kepentingan untuk saling bergantung antara negara.

“Saya rasa beliau juga tahu mengenai kepentingan Amerika Syarikat, dengan saling bergantung antara negara, dan beliau perlu untuk melihat banyak kepentingan di luar, termasuk China,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi “Country Strategy Dialog” yang dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini, semasa dirujuk mengenai apa yang akan ditanya beliau sekiranya Presiden China Xi Jinping dan Presiden Trump berkongsi pentas yang sama.

Mengulas lebih lanjut mengenai penglibatan Presiden Xi, Anwar berkata terdapat kesediaan untuk mempelajari dan melibatkan diri dalam banyak bidang termasuk dalam apa yang disifatkan oleh Barat sebagai Laut China Selatan yang sangat dipertikaikan.

Anwar turut menyifatkan kedudukan Malaysia amat unik sebagai sebuah negara maritim yang bersempadan dengan semua negara di ASEAN dan juga China.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat