Tiada tol percuma: Kabinet akan bincang Jumaat ini

PUTRAJAYA: Keputusan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan masih belum dimuktamadkan kerana ini hanya akan diputuskan oleh Kabinet pada hari Jumaat, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, keputusan menghentikan pemberian tol percuma itu, seperti yang dinyatakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam adalah keputusan dasar yang dibuat sebelum ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini, apabila sekembalinya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari lawatan luar negara, insya-Allah akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu apa hasil perbincangan di peringkat Jemaah Menteri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menerima pandangan daripada semua pihak dan mengkaji langkah yang tepat untuk diambil seterusnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panel pada forum “Mengukuhkan Masa Depan: Memanfaatkan Teknologi 5G untuk Memperkukuh Keselamatan Negara” sempena Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), pada Rabu.

Pada Selasa, Alexander berkata, Kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma bersempena musim perayaan.

Katanya, ketetapan yang diputuskan pada mesyuarat Kabinet tahun lepas itu bagaimanapun akan diganti dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat