DAVOS (Switzerland): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa tindakan lebih tegas bagi menangani krisis yang sedang berlaku di Myanmar untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau itu.
Katanya, biarpun krisis di Myanmar tidak seburuk peperangan di Gaza dan Ukraine, namun ia adalah masalah yang perlu diberi perhatian kerana memberi kesan kepada negara serantau.
“Melambatkan bererti penderitaan bagi ramai orang, termasuk pelarian di Bangladesh dan juga di Malaysia, di mana terdapat 200,000 pelarian dari Myanmar, Rohingya. Ini benar-benar kejam untuk terus membenarkan ini.
“Jadi pihak berkuasa Myanmar perlu memahami bahawa kita perlu mengambil pendirian yang kukuh kerana kegagalan tadbir urus di Myanmar memberi kesan kepada keamanan dan keselamatan kita,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”, mengenai keutamaan Kepimpinan ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi, malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendekatan berhati-hati ASEAN dalam isu Myanmar ini bukan untuk mengenakan sistem tadbir urus tetapi memastikan keamanan dan mencegah amalan diskriminasi atau keganasan terhadap minoriti.
“Kami sedang maju dengan berhati-hati. Petunjuk positif pertama dalam beberapa bulan kebelakangan ini ialah kesediaan untuk terlibat.
“Anda lihat, selagi mereka mewakili semacam demokrasi partisipatif yang kami tidak memaksakan, tetapi perkara kritikal ialah keamanan mesti terjamin.
“Mereka tidak boleh dianggap meneruskan amalan diskriminasi ini atau malah apa yang dianggap sebagai keganasan untuk dilakukan terhadap minoriti atau mana-mana kumpulan,” katanya.
Baca juga: