DAVOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat bertukar pandangan dengan tiga pemimpin utama Libya, Belanda dan Somalia dalam pertemuan santai dekat sini, Switzerland malam tadi.
Beliau berkata kesempatan itu diambil bagi merapatkan lagi hubungan dan kerjasama strategik untuk kepentingan bersama di masa hadapan.
“Dalam sela-sela Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, saya sempat mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin dunia
“Antaranya, pertemuan dengan Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibeh di mana kami senada untuk melonjakkan lagi sinergi kerjasama di peringkat ekonomi, pelaburan dan perdagangan.
“Sewaktu sesi dengan Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof pula, kesepakatan dijabat tangan dalam meningkatkan hubungan pendidikan, ekonomi dan perdagangan di masa hadapan.
“Dalam pertemuan dengan Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, kami bertukar pandangan dalam merancakkan lagi hubungan dua hala selain isu semasa termasuk gencatan senjata di Gaza,” katanya menerusi Facebook pada Khamis.
Anwar turut menjelaskan akhir pertemuan, saya menghulurkan jemputan kepada kesemua pemimpin untuk melawat Malaysia yang kini menjadi Pengerusi ASEAN 2025 agar keharmonian hubungan diplomatik yang dijalin terus segar, Insya-Allah.
Sebelum itu, Perdana Menteri turut serta dalam forum yang dikendalikan Presiden WEF, Borge Brende, dengan penyertaan panel lain, antaranya Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Pengerusi Global Mastercard Michael Miebach, dan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Prof Muhammad Yunus.
Baca juga: