DAVOS: Keamanan sejagat merentasi benua merupakan faktor yang diambil kira untuk terus mengekalkan kestabilan dunia, di sebalik semangat dan kerancakan mengejar perubahan arus teknologi dunia serta kepesatan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara kritikal itu juga perlu diambil serius oleh mana-mana negara, blok mahu pun kesatuan sekiranya ingin memastikan kehadiran pelabur terus rancak menghangatkan peluang perdagangan.
“Saya turut memberikan contoh dan pandangan mengenai situasi di Myanmar di mana lebih banyak libat urus di pelbagai lapisan dan pihak berkaitan, perlu diadakan bagi memastikan kestabilan dan keamanan benua ASEAN terus dipelihara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2025/01/474592308_1190025462479019_5770710215214955931_n-1024x683.jpg)
Menurut Anwar, perkara sama turut ditekankan ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN yang bertajuk ‘Even Stronger Together pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di Davos, Switzerland.
Anwar berada di Davos sempena lawatan kerja selama tiga hari bagi menghadiri WEF 2025, menandakan kehadiran pertama beliau sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.
Terdahulu, Anwar yang Pengerusi ASEAN berkata, negara anggota ASEAN menumpu untuk mengukuhkan asas ekonomi, kerjasama dan meningkatkan perdagangan sesama anggota, yang mana pada 2023, mencatatkan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM16.85 trilion (AS$3.8 trilion).
“Kami sudah berjaya pada masa lalu dari segi diplomasi geopolitik. Bagaimanapun, kami menyedari bahawa kami perlu meningkatkan perdagangan sesama ASEAN dan berusaha untuk melengkapkan kelebihan daya saing antara satu sama lain,” katanya dipetik sebagai berkata.
Beliau menegaskan asas ekonomi, dari segi perdagangan dan pelaburan, adalah penting, dan begitu juga bagaimana cara blok 10 anggota itu berunding dengan negara lain di rantau ini.
Baca juga: