Anwar komited tingkatkan Malaysia sebaris negara maju – Penganalisis

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada undang-undang lapuk untuk menangani cabaran baharu menonjolkan kesungguhan beliau membawa Malaysia sebaris negara maju.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, kenyataan Anwar itu selari dengan kehendak Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan reformasi pentadbiran yang menjadi agenda utama.

“Saya menyokong kenyataan PM Anwar mengenai usaha untuk mengkaji semula undang-undang lapuk.

“Misalnya kenyataan beliau mengenai undang-undang yang dikatakan menyekat atau mengawal golongan tertentu untuk berkarya melalui lukisan seperti satira.

“Jadi saya amat bersetuju dengan keinginan PM Anwar tentang ini kerana melibatkan kebebasan berkarya,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Tawfik berkata, Malaysia sudah bersedia untuk melaksana perkara itu, malah tiada kekangan kerana Kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Davos (Switzerland) baru-baru ini menegaskan bahawa, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada undang-undang lapuk untuk menangani cabaran baharu yang muncul terutama dalam menghadapi kemajuan pesat teknologi.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk memperkenalkan undang-undang terkini yang sejajar dengan perkembangan global.

Tahun lalu, lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, terdapat undang-undang di negara ini yang dirangka sebelum zaman kemerdekaan dan kini dilihat tidak lagi menepati keperluan masa kini.

“Contohnya dalam isu dunia digital, undang-undang yang ada sekarang ni, mungkin tidak boleh lagi terpakai atau perlu dipinda agar sesuai dengan situasi yang ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Anwar yang banyak membuat lawatan ke luar negara untuk bertemu dan berbincang mengenai ekonomi dan tidak hanya berada di dalam negara sahaja.

Anda Mungkin Berminat