ASEAN: Ekonomi Malaysia lebih diyakini dan berdaya saing – Pensyarah Kanan

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Selaras dengan Malaysia sebagai kepengerusian ASEAN 2025, ekonomi negara kini lebih maju dan diyakini mempengaruhi daya saing di peringkat antarabangsa, kata Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob.

Beliau ketika dihubungi Malaysia Bangkit berkata bahawa keterlibatan Malaysia juga turut dipandang tinggi, berdasarkan pencapaian melibatkan pelbagai kaum dan mempunyai kerajaan lebih stabil.

“Perkara ini disokong, dengan adanya pelbagai sumber asli yang boleh mengeluarkan bermacam-macam produk aliran atasan dan aliran bawahan (upstream and downstream).

“Ini sememangnya boleh menjadikan perdagangan antara negara-negara ASEAN menjadi lebih maju dan berdaya saing di rantau ini.

“Malaysia hari ini juga mampu membuat pelaburan dan memindahkan beberapa teknologi ke negara-negara yang masih cuba menaikkan sektor ekonomi mereka terutama di industri pembuatan dan pengilangan,” jelasnya.

Bagi merancakkan lagi pencapaian ekonomi negara, beliau menyarankan Malaysia untuk terus kekal mengadakan kerjasama dengan lebih akrab di antara negara-negara ASEAN.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023 telah mencapai sebanyak RM16.85 trilion (AS$3.8 trilion).

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui bahawa asas ekonomi, dari segi perdagangan dan pelaburan adalah penting, begitu juga bagaimana cara blok 10 anggota itu berunding dengan negara lain di rantau ASEAN.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat