Muhyiddin selesai bayar saman fitnah RM1.4 juta kepada Guan Eng

PETALING JAYA: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah membayar ganti rugi RM1.4 kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung saman fitnah berkait isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Difahamkan, Muhyiddin telah melunaskan bayaran itu secara berperingkat iaitu RM400,000 pada hujung tahun lalu dan baki RM1 juta pada 23 Januari.

Perkara ini telah disahkan oleh kedua-dua peguam mewakili Muhyiddin dan Guan Eng, lapor Berita Harian.

Pada 16 Disember tahun lalu, Hakim, Roz Mawar memberi penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin dengan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membayar RM400,000 sebelum atau pada 31 Disember, manakala baki ganti rugi terbabit sebelum atau pada 27 Januari ini.

Roz Mawar dalam keputusan tuntutan saman itu, mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Mahkamah memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Guan Eng mendakwa, kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat