KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan projek perintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang disifatkan wajar.
Persatuan itu berkata keputusan itu tepat susulan kebimbangan yang disuarakan banyak pihak termasuk MMA sendiri.
“Kami memberi sokongan penuh kepada pasukan petugas khas KKM yang ditubuhkan untuk mengukukan penyampaian penjagaan kesihatan serta menambah baik jadual jam bekerja.
“Bekas Ketua Pengarah KKM, Dr Abu Bakar Suleiman adalah pilihan terbaik untuk mengetuai pasukan petugas khas ini. Pengalaman luas beliau pastinya dapat memberi sumbangan signifikan dalam mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan,” kata MMA dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, para doktor serta kumpulan-kumpulan doktor risau mengenai impaknya terhadap pengamal perubatan dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Dalam kenyataan sama, MMA mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan dan pasukannya yang sudi bertemu persatuan tersebut bagi membincangkan beberapa isu termasuk WBB, elaun on-call dan cabaran-cabaran yang dihadap doktor kerajaan.
Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, Kabinet memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.
Baca juga: