Gencatan senjata: 200 rakyat Palestin, 4 tentera Israel dibebaskan

GAZA: Kumpulan pejuang Hamas membebaskan seramai empat tentera Israel pada Sabtu, di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Israel.

Lapor Al Jazeera, seramai 200 tahanan Palestin dibebaskan daripada penjara Israel sebagai pertukaran.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) yang mengesahkan perkara itu berkata, ia telah memindahkan seramai 128 tahanan Palestin ke Gaza dan Tebing Barat, manakala pihak berkuasa tempatan mengendalikan pembebasan dan pemindahan jumlah selebihnya.

Semasa proses penyerahan, wakil ICRC dibawa naik ke pentas untuk menandatangani dokumen sebelum pembebasan keempat-empat tentera terbabit.

Beribu-ribu rakyat Palestin berkumpul di Dataran Palestin untuk menyaksikan majlis penyerahan empat tentera Israel itu.

Bas yang membawa tahanan Palestin pula dilihat berlepas dari penjara Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Pembebasan oleh kedua-dua pihak disambut dengan sorakan rakyat Palestin di Ramallah dekat Tebing Barat yang diduduki dan penduduk haram Israel di Tel Aviv.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza selama enam minggu telah berkuat kuasa pada 19 Januari, menggantung perang genosid Israel yang telah membunuh hampir 47,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,400 orang sejak 7 Oktober 2023.

Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan ketenangan yang berterusan, dengan matlamat mencapai gencatan senjata kekal serta pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Serangan Israel itu menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ramai warga emas dan kanak-kanak dalam satu daripada bencana kemanusiaan global terburuk yang pernah berlaku.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat