Sidang kemuncak ASEAN perlu tumpu keamanan, pembangunan serantau – Pemuda Amanah

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan pelaksanaan sidang kemuncak ASEAN pada tahun ini memberi tumpuan kepada keamanan dan pembangunan serantau.

Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, langkah tersebut bukan sahaja boleh menjadi platform utama untuk menangani isu tersebut secara kolektif, malah mampu menyelesaikan konflik serantau dan global.

“Malaysia yang bertindak sebagai ‘broker perdamaian’ telah membuktikan keupayaan negara ini menjadi ‘Geneva of the East’.

“Kita telah membantu menyelesaikan konflik di Selatan Filipina dan Thailand. Konflik Laut China Selatan juga perlu diselesaikan secara bersama oleh negara ASEAN tanpa campur tangan kuasa besar.

“Perdagangan tahunan di laluan ini bernilai lebih AS3.4 trilion, menjadikannya kritikal untuk kestabilan ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dengan tajuk Geopolitik Global untuk Malaysia pada Konvensyen Nasional 2024 Amanah, di Klang, Selangor pada Sabtu.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari, di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk sebuan rantau yang bersatu dan makmur.

Malaysia jambatan dialog konflik

Dalam ucapan sama, Ammar turut mencadangkan agar Malaysia mengambil pendekatan aktif untuk menjadi jambatan dialog antara pihak bertelagah bagi menghadapi krisis dunia yang mencabar.

Beliau berkata, ini antara lain dengan menyokong inisiatif bantuan kemanusiaan di kawasan konflik termasuk menyediakan platform perdagangan makanan asas bagi negara-negara terjejas, sekali gus membantu kestabilan ekonomi serantau.

Memberi contoh peperangan antara peperangan Rusia dan Ukraine, katanya, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang memperluaskan wilayahnya ke Ukraine bertindak memprovokasi Rusia seterusnya memberi kesan kepada dunia.

“Konflik ini menyebabkan ketidakstabilan bekalan gandum dan tenaga, yang turut menjejaskan kos makanan dan pengangkutan global, termasuk di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Ammar turut menyarankan penubuhan Tabung Pembinaan Gaza yang melibatkan negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara pro keadilan.

Jelasnya, solidariti itu penting bagi membuktikan Malaysia sebagai peneraju dalam isu kemanusiaan, manakala tabung tersebut boleh digunakan untuk membina infrastruktur penting seperti sekolah dan hospital di Gaza.

“Konflik di Gaza pula adalah bukti kegagalan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Namun, Malaysia telah jadi contoh keberanian dengan menyokong Hamas dan Palestin tanpa menjejaskan ekonomi kita.

“Pada tahun 2024, negara kita mencatat rekod perdagangan tertinggi RM2.87 trilion sekali gus menunjukkan kepercayaan global terhadap kestabilan ekonomi kita meskipun lantang bersuara dalam isu keadilan,” ujarnya.

Selesai mata wang ASEAN serantau

Sementara itu, Ammar turut mencadangkan agar Malaysia memimpin mekanisme penyelesaian mata wang serantau ASEAN.

Menurutnya, langkah tersebut dapat mempermudah penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serta mengurangkan pergantungan pada dolar AS.

“Dengan inisiatif ini, kos transaksi dapat dikurangkan dan kestabilan ekonomi serantau dapat diperkuatkan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia ada peluang besar untuk bentuk masa depan rantau ini. Dalam konteks perdagangan, lebih 60 peratus perdagangan ASEAN adalah intra-rantau,” jelasnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat