Kematian seorang remaja berusia 17 tahun, Brooke Badger memicu usaha pihak berkuasa California, Amerika Syarikat membanteras kegiatan penjualan dadah palsu secara atas talian.
Menurut laporan The Guardian, remaja malang itu ditemui tidak sedarkan diri di atas katil dalam keadaan wajah yang pucat.
Ibu mangsa, Hanh Badger mengakui kecewa dan tidak menyangka perkara itu boleh berlaku lebih-lebih lagi apabila Brooke tidak menunjukkan tanda atau sikap remaja bermasalah.
“Saya tidak pernah menyangka Brooke akan meninggal dunia akibat pengambilan dadah berlebihan,” jelasnya.
Kemudian selang beberapa hari selepas kejadian, ahli keluarga Brooke mula memeriksa computer riba miliknya.
Mereka mendapat Brooke membuat pembelian dadah yang mengandungi asetaminofen dan oksikodon yang biasanya digunakan sebagai ubat tahan sakit.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa tempatan giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menjual barangan terlarang.