Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju memanfaatkan segala kekuatan yang ada termasuk pertahanan dalam memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Indonesia mempunyai banyak pengalaman dan kekuatan yang mana Malaysia harus bersedia melihat apa yang boleh diperoleh berbanding negara-negara lain.
Tambahnya lagi, persahabatan dua negara ini juga boleh ditingkatkan lagi menerusi bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, penyelidikan, teknologi makanan, industri hiliran dan tenaga.
“Jadi, hal itu hanya akan berlaku jika ada kesefahaman, keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pimpinan serta pasukan kedua-dua kami.
“Saya ucap terima kasih dan beri arahan jelas kepada rakan-rakan menteri serta jabatan terkait, selain sektor swasta untuk pastikan apa yang kita sepakati dimeterai secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Menara Berkembar Petronas pada Isnin.
Dalam pada itu, kata Anwar, Malaysia dan Indonesia komited untuk memastikan kerjasama antara syarikat gergasi minyak kedua-dua negara, PETRONAS dan PERTAMINA meneroka aliran baharu dalam bidang perniagaan.
Baca juga: