Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Pempengaruh diakui sebagai aset penting yang mempromosikan kerjasama dan budaya di peringkat negara-negara ASEAN.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Firdaus Ruslan atau lebih dikenali sebagai Sir Pedot berkata, peranan pempengaruh memiliki potensi besar untuk memperkukuhkan hubungan antara negara anggota ASEAN.
“Media sosial merupakan nadi kepada kehidupan masa kini, lebih-lebih lagi bagi golongan remaja.
“Pempengaruh berperanan menyebarkan maklumat mengenai kerjasama serantau dan peluang-peluang yang wujud untuk dinikmati oleh masyarakat.
“Mereka (pempengaruh) juga boleh mempromosikan kepelbagaian sosiobudaya yang ada di kalangan negara ASEAN, dan ini boleh memacu pelancongan,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.
Menurut Firdaus, pempengaruh juga memainkan peranan dalam mengetengahkan isu-isu penting seperti sosial, pendidikan dan alam sekitar di negara-negara ASEAN bagi membawa perubahan secara bersama.
Beliau menegaskan bahawa pempengaruh yang ingin mempromosikan ASEAN perlu mempunyai kredibiliti yang tinggi dan pengetahuan yang luas tentang rantau ini.
“Banyak faktor yang akan mempengaruhi contohnya jumlah pengikut, kerjaya seseorang, keaslian dan kejujuran melalui kandungan yang dikongsi.
“Pempengaruh itu perlulah mempunyai pengetahuan yang luas berkenaan ASEAN, pernah terlibat dengan inisiatif dan program berkenaan ASEAN,” katanya.
Firdaus atau Sir Pedot, 38, telah disenarai dalam 20 pencipta kandungan muda dari 10 negara ASEAN yang dipilih untuk menghasilkan kandungan secara langsung bertujuan mendidik, memberi motivasi dan menginspirasi penonton.
Beliau dipilih di bawah program anjuran Yayasan ASEAN dengan kerjasama TikTok untuk meningkatkan kesedaran mengenai bidang pendidikan khususnya di Malaysia melalui kerjasama serantau.
Baca juga: