Agong perkenan pindaan undang-undang tangani keselamatan, jenayah buli siber

CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sudah memperkenan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan mengenai buli siber dalam talian dan luar talian serta Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Justeru, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penguatkuasaan undang-undang itu akan diwartakan dalam tempoh terdekat bagi menangani isu ancaman dan keselamatan siber.

“Selepas ia diwartakan, insya-Allah kita akan berupaya untuk menangani beberapa masalah termasuk pedofilia dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, buli siber dan juga masalah berkaitan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada 9 Disember tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.

Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 pada 11 Disember tahun lalu bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.

Mengenai pelesenan platform media sosial, Fahmi memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti dokumen yang dikemukakan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

“Setakat semalam, Meta Platforms Inc (Meta) sudah menghantar sejumlah dokumen. Kita sedang proses dan kita jangkakan dalam masa yang tak terlalu lama akan kita lesenkan.

“Yang lain seperti yang saya sebut sebelum ini untuk Google, Microsoft yang menguruskan LinkedIn dan juga X, MCMC sedang susuli dan masing-masing mempunyai pandangan (berkaitan pelesenan),” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat