Majikan tidak berhak paksa pekerja ambil cuti tanpa gaji – KESUMA

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan bahawa majikan sama sekali tidak mempunyai hak untuk memaksa pekerja menghabiskan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sempena Tahun Baru Cina.

Menurut kenyataan KESUMA, tindakan ini sering dilakukan oleh majikan dengan alasan menutup operasi perniagaan melebihi hari kelepasan am yang telah diwartakan.

“KESUMA menerima aduan daripada pekerja mengenai majikan yang memaksa mereka mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji sempena penutupan operasi perniagaan sebelum dan selepas hari kelepasan am pada 29 dan 30 Januari 2025.

“KESUMA ingin menegaskan bahawa pekerja berhak menentukan bila cuti tahunan hendak dimohon dan majikan tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji bagi mengurangkan kos perniagaan.

“Cuti tahunan serta cuti tanpa gaji hendaklah diberikan atas kehendak dan permohonan pekerja sendiri,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, majikan yang didapati menolak kelayakan cuti tahunan atau gaji pekerja bagi tempoh penutupan syarikat yang melebihi hari kelepasan am perlu melaporkan kepada Pejabat Tenaga Kerja.

Katanya, perkara itu tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat