PETALING JAYA: Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2025 kepada penjawat awam yang layak akan mula dibayar pada 25 Februari depan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengumumkan bahawa, BKK bernilai RM500 diberikan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan, Profesional dan Kumpulan Pelaksana, Gred 15 dan ke bawah atau setara yang masih berkhidmat pada 25 Februari.
Beliau berkata, BKK ini juga layak diterima oleh pegawai lantikan tetap, sementara, kontrak serta pegawai yang bercuti bergaji penuh, separuh gaji, tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan termasuk agensi yang diasingkan pengurusan saraannya.
“Selain itu, BKK juga layak diberikan kepada pegawai personel MySTEP, guru interim serta pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Utama B dan ke atas serta Gred Khas A dan ke atas serta pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman,” katanya menerusi surat edaran bertarikh 27 Januari.
Selain penjawat awam, Wan Ahmad Dahlan berkata, BKK bernilai RM250 turut dibayar kepada pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen menerusi beberapa ketetapan.
Beliau berkata, pembayaran BKK akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pesara kerajaan yang menerima pencen, pesara pilihan yang belum menerima pencen, penerima pencen terbitan di bawah undang-undang pencen dan pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara atas sebab kesihatan atau mencapai usia persaraan paksa.
Selain itu, katanya, pembayaran BKK oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) disalurkan kepada veteran berpencen dan tidak berpencen.
“Pembayaran sebanyak RM250 akan dibuat oleh JPA atau JHEV dan baki RM250 akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat.
“Pegawai yang meninggal dunia pada 25 Februari layak menerima BKK sebanyak RM500.
“Bagi pesara kerajaan dan veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara dan COS (contract of service) yang masih berkhidmat pada 25 Februari depan layak dibayar RM500,” tambah Wan Ahmad Dahlan.
Ketika Belanjawan 2025 yang diumumkan pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BKK akan diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Bantuan khas itu juga diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250 yang akan disalurkan pada Februari 2025.